Monday, January 9, 2012

teori jean piaget dalam kreativiti



Jean Piaget  ialah ahli psikologi dan pendidik. Beliau telah dilahirkan di Neuchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896 dan telah meninggal dunia pada tahun 1980. Piaget berminat dalam bidang biologi. Sepanjang hidupnya beliau suka membaca subjek falsafah, sosiologi dan teologi. Akhirnya beliau telah memilih bidang psikologi, khususnya mengkaji tingkah laku kanak-kanak.


Rajah : Jean Piaget
 
Menurut Piaget, perkembangan intelektual kanak-kanak tidak bergantung kepada pengajaran secara langsung orang dewasa. Sebaliknya, perkembangan kanak-kanak bergantung kepada interaksi antara dua faktor utama iaitu faktor keturunan (baka) dan faktor persekitaran. Kanak-kanak lahir dengan kebolehan mental semula jadi untuk belajar.
Piaget percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui aksi. Interaksi mereka dengan persekitaran semasa membesar membantu mereka mencipta dengan sendiri tanpa pertolongan orang dewasa, pengetahuan atau skema. Pengetahuan baru sentiasa menggantikan skema yang lama dalam proses yang dikenali sebagai asimilasi, akomodasi dan ekuiliberasi. Piaget juga menekankan bahawa perkembangan intelektual menguasai semua aspek perkembangan yang lain seperti emosi, sosial dan moral.
Piaget paling dikenali untuk hujah beliau yang mengatakan bahawa kematangan dari segi biologi mendahului kebolehan pembelajaran mereka. Ini bermakna, kanak-kanak harus ada kesediaan dari segi kematangan (biologi) mereka sebelum mereka boleh melakukan operasi mental. Menurut Piaget, perkembangan kognitif kanak-kanak dari bayi hingga dewasa adalah melalui empat peringkat konsekutif iaitu:
1.   Peringkat Sensorimotor: 0-2 tahun
2.   Peringkat Praoperasi: 2- 7 tahun
3.   Peringkat Operasi Konkrit: 7- 11 tahun
4.   Peringkat Operasi Formal: 11 - 15 tahun

Implikasi Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran

Oleh kerana Piaget menyarankan bahawa kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan melakukan aktiviti secara
 hands-on, penyediaan persekitaran yang menarik dan merangsang pembelajaran adalah penting. Persekitaran yang kondusif adalah penting untuk membolehkan kanak-kanak mencipta pengetahuan secara tidak langsung. Untuk tujuan ini, penggunaan makmal, bengkel dan teknologi yang interaktif sangat berguna bagi menggalakkan perkembangan kreatif kanak-kanak. Sebaliknya, penghafalan maklumat dan pembelajaran bahasa secara latih-tubi ditolak sama sekali oleh Piaget.
Jelasnya, ramai pakar pendidikan psikologi menganggap teori perkembangan Piaget sebagai hampir sempurna kepada sistem perkembangan kognitif manusia. Banyak pandangannya yang bersangkut paut dengan pemprosesan maklumat di dalam otak manusia. Melalui model pemprosesan maklumat Piaget menjelaskan bahawa penerimaan maklumat bergantung pada pemprosesan dan penterjemahan data sensori dan menukar data itu ke dalam bentuk yang boleh disimpan dan diguna semula apabila diperlukan. Dengan mempelajari bagaimana otak manusia memproses maklumat, kita dapat melihat dan mengkaji bagaimana manusia mampu berfikir, berpersepsi, menterjemah dan mempercayai. Jean Piaget memandang kecerdikan itu sebagai dasar kepada proses yang aktif di mana manusia dapat memperoleh maklumat melalui interaksi dengan pelbagai objek, idea dan pergaulan dengan orang lain di persekitarannya.

No comments:

Post a Comment