Monday, January 9, 2012

TEORI PERKEMBANGAN EMOSI MENURUT ERIKSO

                                                                
  Erik Erikson
Erik Erikson  ialah seorang ahli psikososial yang banyak menumpukan kajian kepada perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Erikson mengatakan bahawa semua individu melalui lapan peringkat perkembangan yang bersiri dari hari pertama dilahirkan hingga dewasa. Pada setiap peringkat terdapat krisis-krisis yang perlu diselesaikan sebelum boleh berkembang ke peringkat seterusnya. Jika krisis-krisis ini tidak ditangani dengan baik, seseorang individu akan mengalami kesukaran menangani krisis pada peringkat-peringkat yang berikutnya.
Peringkat perkembangan emosi kanak-kanak menurut Erikson adalah seperti berikut:
a.   Percaya lawan Tidak Percaya (trust vs mistrust)
Dalam lingkungan usia 0 hingga 18 bulan. Erikson merujuk kepada peringkat ini sebagai peringkat oral-sensori di mana bayi dipengaruhi oleh deria visual dan sentuhan. Perkembangan emosi kanak-kanak bergantung kepada orang dewasa terutamanya ibu bapa untuk memenuhi keperluan fizikal dan emosi. Peringkat ini dianggap peringkat paling penting kerana ia akan mempengaruhi perkembangan bayi melalui pengalamannya. Peringkat rasa kepercayaan ini dibina dalam tahun pertama dan kanak-kanak membina rasa kepercayaan secara berperingkat. Kanak-kanak akan membina rasa ketidakpercayaan jika keperluannya tidak dapat dipenuhi.

Kepercayaan akan memudahkan seorang kanak-kanak menghadapi serta mengatasi masalah dalam hidup. Rasa percaya akan terus dipupuk jika kanak-kanak itu sentiasa berasa selamat disayangi serta diberi perhatian oleh ibu bapa. Sebaliknya, jika keperluan asas pada peringkat ini tidak dirasai, ketidakpercayaan akan menghalang atau melemahkan bayi dalam mengatasi kesulitan hidup dan kanak-kanak akan membesar dengan rasa kecewa, tidak percaya dan ragu-ragu kepada semua orang disekelilingnya.
b.   Otonomi lawan Rasa Malu (autonomy vs shame
Dalam lingkungan usia 18 bulan hingga 3 tahun. Pada ketika kanak-kanak berumur 18 bulan, konsep kendiri kanak-kanak mula bertambah. Kanak-kanak mula mengetahui apa yang disebut. Pada peringkat ini kanak-kanak meningkatkan kemahiran berdikari dari segi belajar berjalan, bercakap, makan dan menggunakan tandas. Mereka membina konsep kendiri dan autonomi melalui kemahiran mengawal pergerakan motor kasar. Kebolehan membezakan perlakuan yang betul dan salah juga turut berkembang. Keinginan memiliki kuasa dan keinginan untuk melakukan sesuatu dengan daya usaha sendiri juga turut berkembang. Kanak-kanak akan berasa malu jika tidak diberi kuasa atau merasakan dirinya kurang cekap. Sebaliknya, keyakinan kanak-kanak akan dapat dipupuk apabila dipuji.

Pada peringkat umur ini, kanak-kanak akan merasa takut jika melakukan kesalahan. Tingkah laku yang tidak diingini hendaklah dikawal supaya kanak-kanak tidak merasa malu. Tingkah laku yang positif dan yang diingini juga patut dipuji. Cara ini akan membantu kanak-kanak mengenal dan membezakan jenis-jenis tingkah laku yang digalakkan dan yang perlu dielakkan.

Pada peringkat ini, jika kanak-kanak dimalukan atau dihalang daripada melakukan aktiviti, perasaan malu akan timbul. Rasa malu ini boleh membuatkan kanak-kanak meragui kebolehannya sendiri, dan mengakibatkan wujud konsep kendiri yang rendah.
c.   Inisiatif lawan Rasa Bersalah (initiative vs guilt)
Dalam lingkungan usia 3 hingga 5 tahun. Peringkat ini dipanggil peringkat bermain di mana kanak-kanak cuba meniru tingkah laku orang dewasa melalui proses bermain. Kanak-kanak menggunakan inisiatif dan imaginasi mereka untuk mencipta pelbagai situasi permainan dan memainkan peranan sebagai orang dewasa. Dengan cara ini kanak-kanak belajar berbagai kemahiran yang menunjukkan keupayaan menggunakan imaginasi seperti bekerjasama dan memimpin.

Proses ini juga menggalakkan perkembangan kemahiran menyelesaikan masalah, mencari maklumat baru dan membentuk konsep yang berkaitan dengan peranan jantina. Pada peringkat ini, jika kanak-kanak sentiasa diperlakukan supaya rasa bersalah, mereka akan rasa kecewa, takut dan terlalu bergantung kepada orang dewasa. Ini akan mewujudkan keadaan yang kurang membina kemahiran kreativiti, bermain dan aktiviti yang melibatkan imaginasi.
Oleh itu Erikson menegaskan bahawa kanak-kanak perlu digalakkan menjelajah, beraksi dan melakukan aktiviti untuk mendapatkan kepuasan emosi. Jelasnya, kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka. Pada peringkat 1 hingga 3 tahun kanak-kanak gemarkan aktiviti melukis dan mewarna. Ini kerana aktiviti ini dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera dan lukisan yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment